20120501

Bila saya



sakit gigi, saya pergi berjumpa doktor gigi. Ya, tidak salah saya pergi berjumpa doktor sakit puan, tapi itu bukanlah bidang beliau. Mungkin doktor sakit puan itu tahu sedikit sebanyak tentang gigi, namun dia tidak semestinya pakar dalam perihal gigi; dia pakar sakit puan, dan saya yakin dia tidak akan berani membedah gigi saya. Akhirnya, mungkin doktor sakit puan itu menyarankan saya pergi ke klinik sebelah untuk berjumpa doktor gigi.

Begitulah juga jika saya tidak tahu perihal sesuatu, saya akan bertanya kepada yang pakar, kerana mereka pakar dalam bidang-bidang tertentu, dan mereka tahu bagaimana untuk berbuat sesuatu tentang soalan/kehendak saya. Tidak salah saya bertanya kepada yang bukan pakar, jawapan mereka mungkin tepat sekali, mungkin sekadar betul, dan mungkin kurang tepat, atau cenderung terus kepada menjadi tidak tepat sama sekali. 

Tapi dunia sekarang ini, ramai benar pakar dalam pelbagai bidang. Tahu bercakap tentang banyak perkara, bercerita sana-sini tanpa ada sebarang pengiktirafan tentang bidang yang dibincangkan. Ibarat doktor pakar sakit tuan mahu merawat seorang yang ada kanser hati, dia mungkin terpotong vas deferens pesakit yang disangkakan kanser tadi, padahal hati dan vas deferens tidak ada kaitan langsung. 

Makanya, kalau kita tidak tahu, tanyalah kepada yang lebih tahu, lagi baik jika kita bertanya kepada yang pakar. Kerana yang bukan bidangnya itu, jawapannya bagi aku adalah lebih cenderung kepada pandangan sendiri yang datang dari fikiran yang dangkal, dan mungkin menjatuhkan sesuatu dalam lembah yang salah. Bayangkan jika ia adalah sesuatu yang berkaitan akidah, kan rosak akidah kalau jawapan salah diterima dari yang kurang pengetahuan?

No comments:

Post a Comment